Kerajaan komited kekalkan negara sebagai destinasi pelaburan industri semikonduktor

Kerajaan komited untuk memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan terpilih bagi industri semikonduktor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang dipengerusikannya hari ini memutuskan agar Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk merangka Pelan Strategik Semikonduktor secara menyeluruh.

“Hal ini penting bagi menarik minat pelbagai syarikat semikonduktor antarabangsa untuk menubuhkan fasiliti pembuatan semikonduktor berkualiti tinggi di Malaysia.

“Pelan Strategik ini akan turut meliputi pakej insentif yang lebih menarik bagi mempertingkatkan kemasukan pelaburan strategik dalam semikonduktor berteknologi tinggi untuk menggalakkan lebih banyak aktiviti front-end industri tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan.

Selain keputusan itu, MPN juga telah bersetuju dengan pelaksanaan secara usaha sama bagi cadangan pembangunan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) sebagai usaha kerajaan untuk mempercepatkan proses pembangunan tersebut.

“Usaha sama tersebut akan melibatkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dengan kerjasama Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Perak,” ujarnya.

Anwar menyifatkan pembangunan KIGIP ini sebagai salah satu pemangkin utama bagi menarik pelaburan hijau ke dalam negara kerana pengoperasiannya akan dijana dengan Tenaga Boleh Baharu sepenuhnya.

Beliau turut menambah ia juga selaras dengan aspirasi negara ke arah mencapai neutral karbon seawal 2050.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat