JOHOR BAHRU: Kerajaan akan terus menggerakkan kempen makan buah-buahan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada buah import.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang membahasakan dirinya Bang Mat berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Nanas Malaysia 2025 dekat sini.
“Usaha ini bukan sahaja menjimatkan kos, tetapi juga membantu menambah pendapatan petani kita,”
“Bang Mat galakkan semua agensi kerajaan untuk utamakan buah-buahan tempatan dalam setiap majlis rasmi. Makan buah import tiada masalah, tapi dalam acara kerajaan, elok kita angkat hasil tanah sendiri,” kongsinya di Facebook.
Dalam ucapannya, Mohamad menegaskan bahawa nanas kini menyumbang lebih RM1 bilion kepada ekonomi negara, sekali gus membuktikan potensi besar buah tropika itu dalam menjana pendapatan negara serta meningkatkan kesejahteraan pekebun kecil.
“… satu langkah penting dalam meraikan dan memperkukuh kedudukan nanas sebagai antara komoditi utama negara,” katanya.
Kempen ini akan dilancarkan secara rasmi pada 5 Julai di Tawau, Sabah, sebelum diperluaskan ke seluruh negara. Antara buah tempatan berkualiti tinggi yang akan dipromosikan termasuk durian, nangka, nanas dan avocado tempatan – semuanya mempunyai potensi besar untuk pasaran tempatan dan eksport.
Beliau juga memuji usaha berterusan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang berjaya memperkenalkan varieti baharu nanas Sarawak Gold 1 (SG1). Varieti ini bukan sahaja tahan penyakit, malah boleh dituai dalam tempoh kurang setahun. Sebanyak satu juta benih SG1 kini telah mula dibawa masuk ke Semenanjung untuk dikembangkan secara meluas.
“Nanas kita, kebanggaan negara,” tegas beliau, sambil menyeru rakyat untuk terus menyokong hasil pertanian tempatan yang kini semakin berkualiti dan kompetitif di peringkat antarabangsa.
Baca juga: