PETALING JAYA: Kerajaan terus komited memperkasa golongan belia menerusi laluan pendidikan berasaskan kemahiran seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, usaha itu penting dalam memastikan anak muda kekal relevan dan berdaya saing, terutamanya dalam pasaran terbuka yang mencabar.
“Kerajaan memperkukuh laluan pendidikan TVET serta menyokong pembangunan kemahiran belia, khususnya mereka yang terlibat dalam sektor ekonomi gig,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penutup Hari Belia Negara (HBN) 2025 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di MaTIC, malam tadi.
Menurut beliau, pelbagai program latihan semula dan peningkatan kemahiran turut disediakan agar belia memiliki kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan industri semasa.
Zahid turut menegaskan bahawa pendekatan memperkasa belia tidak boleh dilakukan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama merentas sektor.
“Harus ada kolaborasi antara kerajaan, sektor swasta, komuniti dan NGO untuk membuka lebih banyak ruang kepada generasi baharu ini,” katanya.
Beliau dalam masa sama mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah sempena HBN 2025 dan berharap pengiktirafan itu menjadi pemangkin untuk mereka terus menyumbang kepada negara.
Baca juga: