Oleh: Tyah Helmi
PARLIMEN | Kerajaan Madani akan terus komited memperkukuh sistem perundangan dan tadbir urus negara menerusi agenda reformasi yang berteraskan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan kedaulatan undang-undang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak Nasional yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Ampang merupakan satu saranan yang baik dan wajar dipertimbangkan untuk mengambil kira pelbagai isu keselamatan, kebajikan dan perlindungan kanak-kanak yang semakin membimbangkan ketika ini.
Azalina berkata, pihaknya akan meneliti cadangan tersebut secara menyeluruh meliputi aspek mandat, struktur, perundangan serta implikasi kewangan, bagi memastikan ia tidak bertindih dengan institusi sedia ada.
“Pada masa ini, fungsi berkaitan hak kanak-kanak dilaksanakan oleh Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah Suhakam yang bertanggungjawab memantau pelaksanaan dan menyiasat aduan pelanggaran hak kanak-kanak,” katanya di sidang parlimen pada Rabu.
Katanya, kerajaan kini berpandangan bahawa peranan dan autonomi Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah Suhakam perlu terus diperkukuh sebagai langkah segera, sementara kajian lanjut terhadap model institusi terbaik bagi perlindungan hak kanak-kanak diteruskan berdasarkan amalan terbaik antarabangsa dan kesesuaian dengan konteks Malaysia.
Azalina turut menjelaskan bahawa jawatan Pesuruhjaya Kanak-Kanak di wujud kan di bawah Seksyen 6A Akta SUHAKAM 1999 [Akta 597], yang memberi tanggungjawab bukan hanya tertumpu kepada isu kanak-kanak, tetapi juga dalam kerangka lebih luas yang melibatkan hak asasi manusia secara keseluruhan.
Setakat ini, populasi kanak-kanak bawah umur 18 tahun di Malaysia dianggarkan seramai 9.13 juta orang, merangkumi 27.4 peratus daripada jumlah penduduk negara.
Baca juga:







