Kerajaan Komited Perkukuh Pindaan Akta Orang Asli – Zahid

PETALING JAYA: Kerajaan menegaskan komitmennya untuk memperkukuh pindaan terhadap Akta Orang Asli 1954 [Akta 134] demi memastikan perlindungan dan hak masyarakat Orang Asli terus terjamin dan relevan dengan keperluan semasa.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha tersebut digerakkan melalui Mesyuarat Khas Majlis Perundingan Orang Asli (MaPOA) yang berlangsung hari ini, melibatkan pelbagai pihak termasuk Kerajaan Persekutuan dan negeri, tokoh akademik, pertubuhan serta organisasi berkepentingan.

Menurut beliau, mesyuarat itu merupakan langkah penting dalam membina asas kukuh bagi pindaan Akta Orang Asli yang tidak pernah mengalami sebarang perubahan substantif sejak lebih tujuh dekad lalu.

“Antara perkara pokok yang dibincangkan adalah isu tanah dan penempatan Orang Asli.

“Saya percaya, hak ke atas tanah bukan sekadar soal pemilikan fizikal tetapi lambang maruah, kesinambungan warisan dan kunci kepada kemajuan sosio ekonomi komuniti ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Setakat ini, katanya, lebih 1,000 sesi libat urus telah dilaksanakan melibatkan para Batin, Kerajaan Negeri dan Persekutuan, ahli akademik serta NGO.

Sesi-sesi ini menjadi landasan penting sebelum isu berkaitan tanah Orang Asli dibawa ke peringkat Majlis Tanah Negara (MTN), yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahmad Zahid turut menjelaskan bahawa walaupun pentadbiran tanah terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, kerjasama erat antara kerajaan di semua peringkat menjadi tunjang utama dalam memastikan setiap pindaan yang dicadangkan benar-benar mengambil kira kepentingan semua pihak.

Katanya, pindaan tersebut bukan sahaja bertujuan memperkukuh perlindungan terhadap masyarakat Orang Asli tetapi juga membawa perubahan besar dalam kehidupan mereka.

“Akses kepada pendidikan berkualiti, infrastruktur yang memudahkan kehidupan seharian dan peluang ekonomi yang lebih luas adalah matlamat yang akan terus KKDW dan JAKOA perjuangkan,” ujarnya.

Untuk rekod, pindaan Akta 134 dilihat sebagai peluang penting bagi kerajaan memastikan naratif pembangunan Orang Asli kekal teguh, berdaya saing dan mampu melakar kejayaan lebih gemilang pada masa hadapan.

Anda Mungkin Berminat