KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus komited melaksanakan agenda reformasi menyeluruh berasaskan prinsip Madani di bawah bimbingan Seri Paduka Sultan Ibrahim, Yang di-Pertuan Agong Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendekatan yang diambil meliputi pelbagai aspek termasuk perubahan dasar, pelaburan, keusahawanan dan teknologi sebagai pemangkin utama untuk meningkatkan pendapatan rakyat.
Anwar dalam ucapannya sempena hari kelahiran rasmi Seri Paduka, turut mendoakan agar Seri Paduka, Raja Permaisuri dan seluruh keluarga diraja sentiasa dikurniakan kesihatan, kemakmuran serta kekuatan memimpin negara dan menjaga kebajikan rakyat.
“Bagi pihak kerajaan dan rakyat, saya merafak sembah ucapan tahniah kepada Seri Paduka,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa titah Seri Paduka sentiasa menjadi panduan kepada kerajaan dalam merangka dasar serta memastikan kesejahteraan semua lapisan masyarakat dapat direalisasikan.
“Kerajaan akan terus berpegang pada prinsip Madani yang bukan hanya menekankan pembangunan material, tetapi turut mengambil kira nilai kemanusiaan, keadilan sosial dan maruah insan,” ujarnya.
Sambutan hari kelahiran Seri Paduka disambut dengan penuh penghormatan hari ini.
Baca juga: