PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju melaksanakan dasar bekerja dari rumah (WFH) melibatkan kementerian, agensi kerajaan, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 15 April ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil sebagai usaha mengurangkan penggunaan bahan api selain memastikan kemampanan bekalan tenaga negara.
Menurut beliau, perincian lanjut mengenai pelaksanaan dasar berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Kerajaan sedang bertindak menampan kesan krisis tenaga global melalui pelbagai inisiatif sokongan kepada rakyat.
“Jumlah perbelanjaan untuk menyerap kenaikan harga minyak kini mencecah sekitar RM4 bilion setiap bulan.
“Ini bukan angka kecil. Pihak yang mempertikaikan perkara ini perlu faham bahawa kerajaan menyalurkan tambahan RM4 bilion bagi membantu rakyat menampung beban kos,” katanya dalam satu taklimat ringkas hari ini.
Tambah beliau, kerajaan juga mengalu-alukan cadangan daripada semua lapisan masyarakat dalam usaha bersama menangani cabaran tersebut.
“Namun keupayaan kita tetap ada had, dan kita juga melihat bagaimana negara lain berdepan situasi sama.
“Justeru, sebarang cadangan daripada peniaga, nelayan dan pekerja amat dialu-alukan.
“Majlis Tindakan Ekonomi serta jawatankuasa Jemaah Menteri bermesyuarat setiap hari, termasuk memanggil wakil-wakil industri.
“Saya sendiri akan bertemu kontraktor kecil, nelayan dan petani untuk mendengar keluhan mereka serta mencari jalan membantu setakat kemampuan kerajaan,” katanya.
Baca juga:








