PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini melancarkan Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam bersempena Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), sebagai langkah strategik memperkukuh agenda Malaysia MADANI melalui pemerkasaan bakat dan profesionalisme sektor awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya berkata, dasar baharu itu bertujuan melahirkan pegawai awam yang berkemahiran tinggi, inovatif dan berintegriti, agar mampu memimpin perubahan serta mendepani cabaran masa depan.
“Pembangunan bakat adalah pemangkin utama meningkatkan kecekapan dan profesionalisme sektor awam.
“Kita mahu pegawai yang mampu memimpin perubahan serta mendepani cabaran masa depan,” katanya.
Menurutnya, dasar itu memberi tumpuan kepada penilaian prestasi berasaskan merit, peningkatan kemahiran secara berterusan, pembudayaan nilai integriti dalam kerja, laluan kerjaya yang jelas serta pembentukan sektor awam yang berwibawa dan berdaya saing.
Antara pendekatan utama yang digariskan termasuk pemetaan bakat di semua peringkat, pelaksanaan program kepimpinan berskala besar serta kerjasama strategik dengan universiti, industri dan rakan antarabangsa.
Teknologi dan data turut dimanfaatkan untuk memantau perkembangan bakat secara sistematik dan berkesan.
MAPPA XX yang bertemakan “Perkhidmatan Awam MADANI Teras Kecemerlangan” menghimpunkan lebih 30,000 pegawai awam dari seluruh negara secara fizikal dan maya.
Program itu turut menampilkan forum Cakna Inspirasi MAPPA, 43 reruai pameran perkhidmatan serta ruang solat Jumaat yang mampu menampung 1,000 jemaah sebagai simbol penyatuan nilai rohani dan profesionalisme dalam perkhidmatan awam.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2005, MAPPA telah menjadi wadah penting untuk menyemai aspirasi, motivasi dan semangat perpaduan dalam kalangan warga perkhidmatan awam.
Ia juga berfungsi sebagai platform utama bagi pengumuman dasar baharu kerajaan yang bertujuan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.








