Kerajaan lulus lebih RM2.1 juta baik pulih segera pondok terlalu daif

BACHOK: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi menghadiri majlis bersama guru-guru dan pelajar di Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan, Bachok, atas undangan Tuan Guru Sheikh Wazir Al-Maki.

Dalam ucapannya, Anwar mengimbas sejarah perjuangan umat Islam ketika berdepan penjajahan di Tanah Melayu, Indonesia, India, Mesir dan negara lain, di mana sistem pemerintahan, ekonomi serta pendidikan ditundukkan kepada kuasa asing. Beliau turut menyentuh konsep Isti’mar Ruh al-Fikr seperti dihuraikan Sheikh Muhammad Al-Ghazali, iaitu penjajahan jiwa dan pemikiran.

Menurutnya, ketika seluruh sistem runtuh, institusi pesantren dan pondok menjadi benteng mempertahankan akidah, ilmu dan semangat perjuangan.

Justeru, sebaik mengambil alih pentadbiran negara, beliau memperkenalkan gagasan MADANI yang antara lain menekankan pembaharuan pendidikan bagi memperkukuh jati diri generasi muda.

Kini, kata Anwar, semua pelajar Islam didedahkan kepada pengajian al-Quran dan Matan Arbain Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah, bukan hanya di institusi agama atau pondok.

Namun beliau mengakui, hasil pertemuan dengan guru pondok di Malaysia, Indonesia dan Pattani, institusi berkenaan semakin terpinggir akibat tumpuan kerajaan yang lebih kepada sekolah arus perdana.

“Atas kesedaran itu, sebelum hadir ke Bachok saya telah meneliti keadaan beberapa pondok di sini yang terlalu daif. Maka saya meluluskan peruntukan lebih RM2.1 juta bagi kerja baik pulih segera yang akan dimulakan dalam beberapa minggu ini,” katanya.

Beliau menegaskan usaha itu adalah sebahagian daripada inisiatif Negara MADANI untuk membangunkan bangsa berasaskan keyakinan dan akhlak, seperti digarap Allahyarham Syeikh Jaafar Syeikh Idris, dengan komitmen memperbaiki kelemahan melalui bimbingan, teguran dan kritikan membina.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat