PARLIMEN | Kerajaan MADANI kini giat melaksanakan langkah-langkah mitigasi bagi menangani ancaman tarif Amerika Syarikat (AS) yang dilihat memberi tekanan kepada sektor perdagangan negara khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, antara inisiatif utama yang telah digerakkan ialah jaminan pembiayaan bernilai RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi membantu pengeksport PKS yang terjejas mendapatkan pinjaman daripada bank komersial.
“Saya tegaskan kepada Ahli Parlimen Bagan (Lim Guan Eng) di Dewan Rakyat, Kerajaan MADANI telah menggerakkan langkah mitigasi untuk menangani ancaman tarif AS ke atas industri negara, antaranya.
“Jaminan RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP). Ini adalah jaminan kerajaan untuk membantu pengeksport PKS yang terjejas mendapatkan pinjaman dari bank komersial,” katanya.
Selain itu katanya, kerajaan turut melaksanakan suntikan dana pembiayaan mudah berjumlah RM500 juta melalui Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) sebagai sokongan tambahan kepada PKS yang terkesan akibat perubahan landskap perdagangan global.
Dalam usaha memperkukuh daya tahan eksport negara, Tengku Zafrul turut menggesa para pengeksport untuk memanfaatkan rangkaian Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang telah dimeterai Malaysia bersama 28 negara.
“Saya juga menggesa para pengeksport untuk meningkatkan kepelbagaian pasaran melalui 28 negara yang telah memeterai FTA.
“Manfaatkan peluang ini demi daya tahan jangka panjang,” katanya.







