Kerajaan Madani Berdiri Atas Mandat Rakyat, Shamsul Beritahu Muhyiddin

PETALING JAYA: Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim teguh berdiri atas mandat pilihan raya, bukan kerana desakan demonstrasi atau retorik jalanan.

Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyelar kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa perubahan melalui himpunan dan bukannya sistem demokrasi.

“Sekiranya gabungan pembangkang yakin bahawa suara rakyat telah berubah, maka pilihan raya merupakan gelanggang baginya untuk menukar mandat kerajaan,” katanya.

Shamsul mengkritik penggunaan isu kaum dan agama yang dibesar-besarkan bagi mencetuskan emosi dan menggesa agar politik jalanan dihentikan.

“Bukan melalui pentas jalanan, bukan melalui angka yang dibesar-besarkan dan bukan dengan memanipulasi isu kaum dan agama untuk menghasut emosi,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Madani terus komited mendengar suara rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat.

“Kerajaan Madani akan terus mendengar suara rakyat dari nelayan, petani, pekerja kilang, peniaga kecil dan anak muda, bukan hanya suara mikrofon politik di atas pentas himpunan,” tambahnya.

Shamsul mengakui hak rakyat untuk berhimpun, namun memberi amaran agar kebebasan itu tidak dijadikan alat meraih kuasa semata-mata.

“Suara rakyat itu suara keramat tetapi jangan diperalat untuk nafsu kuasa,” ujarnya.

Beliau juga membezakan antara aspirasi rakyat sejati dan manipulasi politik oleh pihak tertentu.

“Namun, ada perbezaan besar antara suara rakyat dengan agenda politik pihak tertentu yang cuba mengheret rakyat untuk mengabsahkan nafsu kuasa mereka,” katanya.

Merujuk kepada Himpunan ‘Turun Anwar’, Shamsul menegaskan bahawa Kerajaan Madani menjamin kebebasan berhimpun tanpa tindakan keras.

“Hak rakyat untuk bersuara dijamin,” katanya, sambil menekankan bahawa tiada gas pemedih mata ditembak dan tiada pentas dihancurkan sepanjang himpunan tersebut.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan pencapaian Muhyiddin Yassin ketika memegang jawatan Perdana Menteri selama hampir 18 bulan.

“Namun apa hasilnya? Ekonomi merudum, ratusan ribu kehilangan kerja, pelabur lari.

“SOP pandemik bercelaru, istilah ‘kerajaan kayangan’ lahir kerana rakyat melihat dua darjat layanan.

“Akhirnya beliau (Muhyiddin) hilang sokongan majoriti dan terpaksa meletak jawatan. Datuk Seri Ismail Sabri menggantikannya,” katanya lagi.

Shamsul turut menegur tindakan kerajaan pimpinan Muhyiddin yang menyekat suara rakyat ketika demonstrasi seperti di Himpunan Undi18 (2021), Himpunan #Lawan & Black Flag (2021) dan tuntutan Sidang Parlimen (2021).

“Pemimpin yang dahulu menutup ruang suara rakyat kini pula berdiri di pentas ‘Himpunan Turun Anwar’ kononnya mendengar suara rakyat,” sinis Shamsul.

Anda Mungkin Berminat