PETALING JAYA: Kerajaan MADANI memberi tumpuan utama dalam membantu ratusan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran besar di Kampung Bahagia, Sandakan pada pagi Ahad.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook, beliau menzahirkan rasa terkesan dengan tragedi tersebut.
“Terkesan tatkala menerima laporan kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan yang telah memusnahkan ratusan buah rumah penduduk kampung,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI sedang menyelaras bersama Kerajaan Negeri Sabah untuk menyalurkan bantuan asas dan menyediakan penempatan sementara secepat mungkin.
Sebelum ini, dilaporkan kebakaran besar memusnahkan kira-kira 200 buah rumah kediaman atas air jenis tidak kekal di Kampung Bahagia.
Menurut Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah, panggilan kecemasan diterima pada pukul 1.32 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira 16 minit kemudian.
Komander Operasi Bomba Zon Sandakan, Jasri Ab Jal berkata, kebakaran melibatkan kawasan penempatan seluas kira-kira 300 meter persegi yang musnah sepenuhnya.
Operasi pemadaman melibatkan 35 anggota bomba dari Balai Sandakan dan Kinabatangan dengan bantuan agensi lain termasuk Sabah Electricity Sdn Bhd, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
Beliau berkata, pasukan bomba menghadapi kesukaran memasuki kawasan kebakaran berikutan laluan sempit yang menghalang pergerakan jentera.
Selain itu katanya, keadaan air laut yang surut menyukarkan usaha mendapatkan sumber air terbuka, ditambah faktor angin kencang serta kedudukan rumah yang rapat menyebabkan api merebak dengan cepat.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan beberapa aliran hos dengan sumber air diperoleh daripada lori tangki serta pili bertekanan milik sebuah kilang berhampiran.
Tiada laporan mengenai mangsa dilaporkan setakat ini.
Pihak bomba akan terus memantau keadaan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.








