Kerajaan MADANI Giat Laksana 43 Projek Tebatan Banjir Keutamaan Tinggi

Oleh: Tyah Helmi

PARLIMEN | Kerajaan MADANI kini sedang melaksanakan sebanyak 43 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berkeutamaan tinggi di seluruh negara sebagai usaha menyeluruh untuk mengurangkan risiko banjir yang saban tahun menjejaskan kehidupan rakyat.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sehingga Disember 2025, sebanyak 37 projek sedang berjalan mengikut jadual, manakala enam lagi mengalami kelewatan.

Menurutnya, projek yang terjejas melibatkan RTB Sungai Solok, RTB Likas, RTB Baling Fasa 2, RTB Sungai Maran, RTB Sungai Klang Seksyen 25 dan RTB Sungai Damansara.

Beliau berkata, kelewatan itu berpunca daripada beberapa faktor termasuk isu pengambilan balik tanah dan pencerobohan, keperluan pengalihan utiliti sedia ada serta kelewatan kelulusan teknikal yang melibatkan pelbagai agensi.

Selain itu katanya, faktor cuaca ekstrem dan kejadian banjir luar biasa turut memberi kesan ketara terhadap kemajuan kerja di tapak.

“PETRA memandang serius perkara ini dan telah mengambil langkah penambahbaikan melalui pengukuhan tadbir urus pelaksanaan projek termasuk pemantauan kemajuan projek secara lebih rapi dan berkala, penstrukturan semula jadual kerja, penguatkuasaan terma kontrak termasuk tindakan terhadap kontraktor yang gagal mencapai prestasi ditetapkan.

“Serta penyelarasan lebih intensif bersama Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi mempercepatkan proses kelulusan dan penyelesaian isu di peringkat lapangan,” katanya.

Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sementara menunggu projek-projek RTB tersebut disiapkan sepenuhnya, PETRA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberi keutamaan kepada pelaksanaan langkah mitigasi segera jangka pendek bagi melindungi penduduk di kawasan yang masih terjejas.

“Langkah ini dilaksanakan melalui Projek Pemuliharaan Sungai untuk mengurangkan risiko banjir yang merangkumi kerja-kerja pengaliran sungai, penstabilan tebing sungai serta naik taraf saluran dan struktur berkaitan,” katanya.

Untuk rekod, sepanjang tempoh 2022 hingga 2025, kerajaan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM556.6 juta ke seluruh negara bagi melaksanakan kerja-kerja kecil tersebut dengan memberi tumpuan kepada kawasan berisiko tinggi yang dikenal pasti di peringkat negeri.

Anda Mungkin Berminat