Kerajaan Madani guna kaedah ‘ikut aliran wang awam’ bendung rasuah – PM

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kerajaan Madani menerusi Jabatan Audit Negara kini mengamalkan pendekatan ikut aliran wang awam atau ‘follow the public money’ bagi membendung ketirisan serta gejala kebobrokan dalam pengurusan wang negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu dilaksanakan menerusi empat garis panduan audit baharu yang memperluas bidang kuasa Jabatan Audit negara kepada mana-mana entiti yang menerima dana awam termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun dan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

“Pendekatan itu penting agar setiap ringgit dalam belanjawan negara dibelanjakan seperti yang diperuntukkan tanpa adanya pembaziran, salah guna mahupun ketirisan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar di Persidangan Asian Confederation of Institutes of Internal Auditors (ACIIA) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (PWTC), pada Selasa.

Kata Anwar, kaedah itu bukan sekadar satu perubahan teknikal, sebaliknya ia merupakan satu langkah strategik demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi awam.

Perdana Menteri turut mendedahkan bahawa sejak tahun 2024, audit yang dijalankan telah berjaya memulihkan dan melindungi sebanyak RM159 juta wang awam melalui tindakan susulan terhadap ketidakaturan serius.

Dalam usaha memperkukuh lagi akauntabiliti, kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Ketidakaturan Serius atau ‘Serious Irregularities Committee’ yang bertindak pantas terhadap pelanggaran kritikal dalam agensi dan jabatan.

“Ia mungkin tidak menjadi tajuk utama berita, tetapi inilah intipati sebenar pembaharuan memegang pihak yang bersalah sebagai bertanggungjawab dan melindungi wang rakyat,” ujar beliau.

Beliau turut menekankan bahawa usaha membanteras rasuah dan memastikan ketelusan tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata, malah memerlukan sokongan sektor swasta dan badan profesional.

Untuk rekod, Persidangan ACIIA 2025 merupakan himpunan lebih 1,500 pengamal audit dalaman dari 26 negara, menjadikannya antara platform paling berpengaruh dalam bidang tadbir urus dan pemantauan kewangan di rantau Asia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat