Kerajaan MADANI Hadapi Cabaran Selesai Hutang Warisan – PM

PETALING JAYA: Segala usaha untuk menyelesaikan masalah hutang negara bukanlah sesuatu yang mudah bagi Kerajaan MADANI, apatah lagi ia merupakan warisan daripada pentadbiran yang lalu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menzahirkan komitmen kerajaan untuk mengurangkan beban hutang secara beransur, demi menjaga masa depan generasi akan datang.

“Saudara, tidak mudah. Kita warisi sepertimana… Saudara ingat senang ke? Tak, kerana hutang kita masih banyak.

“Oh, ada orang kata Anwar asyik banyak cakap tentang hutang-hutang, tapi memang betul. Hutang kalau tak bayar, macam mana?

“Tahun 2023 turun RM90 bilion, turun lagi RM80 bilion, perlahan-lahan dia kena turun.

“Jadi yang kita buat, Kerajaan MADANI ini turun, jangan ada tambahan hutang baharu sebab yang nak bayar besok adalah anak-anak kita,” katanya.

Dalam ucapannya di Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, Johor Bahru, Anwar turut menyentuh isu perhimpunan semalam yang menuntut beliau berundur sebagai Perdana Menteri.

Beliau mengkritik pemimpin yang terlibat, menyeru agar mereka memulangkan dana rakyat terlebih dahulu sebelum melaungkan perjuangan bangsa.

“Cakap ‘hidup Melayu’, kita berjuang untuk Melayu itu semua… Betul, saya nak berjuang untuk Melayu, ya.

“Tapi apa yang kamu ada sekarang RM2 bilion. Pulangkan kembali setengah bilion balik kepada kerajaan dan bagi beri kepada orang Melayu, barulah betul.

“Ini laung ‘Anwar turun, Anwar turun’, bagi balik wang itu, bagi baliklah. Saya bukan nak dendam apa. Hal yang bilion-bilion ringgit…

“Ya, inilah erti merdeka. Merdeka ini kita berfikir,” ujarnya.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Pada masa yang sama, Anwar turut menggariskan aspirasi agar negara bebas daripada belenggu rasuah, penagihan dadah, perpecahan masyarakat dan penyelewengan kekayaan.

Anda Mungkin Berminat