Kerajaan Madani Ikhtiar Angkat Agenda Pembangunan Seimbang – PM

PETALING JAYA: Kerajaan Madani akan terus berusaha mengangkat agenda pembangunan yang berimbang antara keperluan manusia dan kelestarian alam, selari dengan prinsip kemampanan yang menjadi teras utama konsep Madani, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-82, yang disifatkan sebagai wadah penting menyatukan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam meneliti perancangan serta pengurusan tanah negara agar dimanfaatkan secara optimum.

“Mesyuarat hari ini memberi penekanan kepada usaha memantapkan aspek kawal selia tanah supaya lebih inklusif, melindungi kepentingan rakyat serta responsif terhadap keperluan dan realiti semasa,” katanya menerusi laman Facebook rasminya pada Isnin.

Anwar turut berkata, mesyuarat berkenaan mencapai kesepakatan untuk mengekalkan 50 peratus keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan, selaras dengan aspirasi antarabangsa dan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026–2030.

Dalam pada itu, beliau menyeru agar Kerajaan Persekutuan dan Negeri terus memperkukuh kerjasama bagi memastikan projek pembangunan dapat dilaksanakan segera demi kebajikan rakyat.

“Bagi memastikan projek pembangunan dapat dilaksana dengan segera demi kebajikan rakyat, saya turut menyeru agar Kerajaan Persekutuan dan Negeri terus memperkukuh kerjasama,” katanya.

Menurutnya, segala usaha itu adalah untuk mempercepat proses kelulusan urusan tanah bagi tujuan pembangunan tanpa menjejaskan prosedur sedia ada dan tetap menghormati bidang kuasa kerajaan negeri.

Anda Mungkin Berminat