Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kerajaan MADANI memberi jaminan bahawa agenda peralihan tenaga negara akan dilaksanakan secara adil tanpa menjejaskan keselamatan bekalan tenaga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut bertekad memastikan kemajuan kecerdasan buatan (AI) dimanfaatkan demi kepentingan rakyat dan negara.
“Kerajaan akan menunaikan janji kepada rakyat bahawa peralihan ini akan dilaksanakan secara adil, bekalan tenaga negara akan kekal terjamin dan kecerdasan buatan (AI) akan dimanfaatkan demi kepentingan negara.
“Itulah ukuran sebenar kejayaan usaha ini dan ia mesti terus menjadi panduan kita,” katanya.
Beliau berucap pada Persidangan Peralihan Tenaga 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan transformasi sektor tenaga berlangsung secara terancang, meskipun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik, peningkatan permintaan tenaga serta perkembangan pesat teknologi digital.
Anwar mengingatkan bahawa krisis tenaga global akibat gangguan rantaian bekalan menjadi peringatan bahawa semua negara terdedah kepada risiko luar yang boleh menjejaskan keselamatan tenaga.
Permintaan tenaga di ASEAN pula dijangka meningkat lebih 60 peratus menjelang 2040, didorong urbanisasi, perindustrian dan perkembangan pesat teknologi AI.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pertumbuhan pusat data, pengkomputeran awan dan infrastruktur AI menuntut penggunaan tenaga elektrik yang jauh lebih tinggi, sekali gus memerlukan perancangan tenaga yang mampan.
Pada masa sama, katanya, AI juga berpotensi mempercepatkan peralihan tenaga melalui peningkatan kecekapan grid elektrik, ramalan penjanaan tenaga boleh baharu serta pengoptimuman penggunaan tenaga dalam sektor industri.
Menyentuh kerjasama serantau, Perdana Menteri berkata, Malaysia menyokong pembangunan Grid Kuasa ASEAN kerana tiada negara mampu memenuhi keperluan tenaga masa depan secara bersendirian.
Beliau memaklumkan bahawa pelaksanaan Memorandum Persefahaman Dipertingkatkan Grid Kuasa ASEAN sekali lagi diangkat sebagai keutamaan semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Cebu, baru-baru ini.
“Penyaluran tenaga hidro boleh baharu dari Laos melalui Thailand dan Malaysia ke Singapura sejak 2022 membuktikan integrasi tenaga serantau mampu direalisasikan menerusi kerjasama erat antara negara anggota ASEAN,” kata beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, Malaysia terus menjadi destinasi utama pelaburan infrastruktur digital global khususnya pembangunan pusat data di Johor dan Lembah Klang.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai keupayaan untuk menerajui agenda peralihan tenaga negara serta menyokong pertumbuhan ekonomi digital yang dipacu teknologi AI.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada TNB atas penganjuran persidangan tersebut yang disifatkan sebagai platform penting bagi memperkukuh perbincangan dan kerjasama berkaitan masa depan tenaga negara.








