PETALING JAYA: ‘Buang yang keruh, ambil yang jernih’, itulah semangat yang dibawa Kerajaan Madani dalam memperkukuh hubungan dengan pengamal media, sambil menegaskan komitmen terhadap kebebasan media sebagai tunjang demokrasi dan pembangunan negara bangsa.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan perkara itu menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya pada Isnin, selepas mengadakan Sesi Kudapan Pagi bersama wakil-wakil media di Putrajaya.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah wakil daripada Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), Majlis Media Malaysia (MMM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm), menjadikan pertemuan itu medan dialog terbuka antara kerajaan dan pengamal media.
“Kerajaan Madani sentiasa memberi keutamaan kepada kebebasan media dan tidak pernah berniat untuk mengetepikan peranan mereka,” katanya.
Menurut Nga, hubungan erat antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan media amat penting bagi memastikan dasar serta inisiatif kerajaan dapat disampaikan secara inklusif dan difahami rakyat dengan berkesan.
“Media berperanan besar sebagai jambatan komunikasi antara kerajaan dan rakyat.
“Oleh itu, kita mesti saling bekerjasama ambil yang jernih, buang yang keruh demi menjayakan agenda Malaysia Madani,” tambah beliau.
Difahamkan, sesi tersebut bukan sahaja menjadi ruang santai untuk menjalin hubungan tetapi juga membuka peluang kepada pertukaran pandangan dan idea secara terbuka.








