Kerajaan Madani Komited Laksana 40 Peratus Hasil Sabah – Anwar

PETALING JAYA: Kerajaan Madani menegaskan komitmen penuh untuk melaksanakan tuntutan hak 40 peratus hasil bersih kepada Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa perkara itu akan diselesaikan segera.

Anwar berkata, tuntutan tersebut bukan isu kecil kerana melibatkan jumlah ‘berbilion ringgit’, namun kerajaan tetap berpegang pada janji untuk menunaikannya.

Menurut beliau, hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri menjadi pemangkin utama yang mempercepatkan proses rundingan serta pelaksanaan tuntutan berkenaan.

“Saya bawa perkara ini ke Jemaah Menteri. Kalau hubungan dengan kerajaan negeri baik, lebih mudah kita tuntut dan laksanakan,” katanya dipetik FMT.

“Saya sebut jelas di Jemaah Menteri dan Parlimen: Ya, kerajaan akan menghormati dan melaksanakan 40 peratus itu dengan segera.

“Jadi saya perlu bincang, runding dan teliti semula perjanjian. Janji sudah dibuat, kita tunaikan,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Temu Rapat bersama pimpinan masyarakat dan sahabat usahawan pada Khamis.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Dalam ucapannya, Anwar memuji kepimpinan negeri di bawah Hajiji yang disifatkannya berkhidmat untuk semua lapisan rakyat Sabah.

Beliau turut menegur kegagalan kerajaan terdahulu yang menurutnya ‘langsung tidak menyentuh’ penyelesaian hak-hak dalam MA63.

“Dulu ditunaikan? Kerajaan lama ada tunaikan? Sebut pun tidak. Ini kerajaan sekarang yang bangkit dan teruskan,” katanya.

Anwar berkata, pelaksanaan tuntutan 40 peratus itu memerlukan masa kerana ia melibatkan pindaan undang-undang di Parlimen, namun kerajaan komited memastikan proses tersebut berjalan dengan teratur.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan adalah asas penting pembangunan negara, termasuk membantu Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi sehingga 5.2 peratus.

Anda Mungkin Berminat