PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
Kemenangan calon BN, Mohd Kurniawan Naim Moktar di Parlimen Kinabatangan dan Mohd Ismail Ayob (MIHA) di DUN Lamag, disifatkan sebagai bukti keyakinan rakyat terhadap usaha dan khidmat yang telah ditunjukkan BN di peringkat akar umbi.
Dalam satu hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, kemenangan itu perlu ditanggapi dengan penuh tanggungjawab sebagai amanah rakyat.
“Saya merakamkan ucapan tahniah kepada Barisan Nasional atas kemenangan dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag semalam (Sabtu).
“Keputusan ini mencerminkan keyakinan rakyat yang berterusan terhadap usaha, khidmat dan komitmen yang telah dipertunjukkan di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kepemimpinan baharu harus berintegriti, berkesan dan mampu menyantuni keperluan masyarakat secara inklusif serta berterusan.
“Kemenangan ini wajar ditanggapi dengan sikap tanggungjawab sebagai amanah rakyat yang menuntut kepemimpinan yang berintegriti serta tahap khidmat yang berkesan serta keupayaan menyantuni keperluan masyarakat secara inklusif dan berterusan,” katanya.
Perdana Menteri menambah bahawa Kerajaan MADANI akan terus menjunjung semangat muafakat dan kebersamaan demi memastikan pembangunan di Sabah dapat dimantapkan serta kesejahteraan rakyat terus dipelihara.
“Kerajaan MADANI akan terus menjunjung semangat muafakat dan kebersamaan demi memastikan pembangunan di Sabah dapat dimantapkan, kesejahteraan rakyat terus dipelihara dan agenda yang madani dapat dijelmakan dengan tekad secara bersama,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar legasi khidmat Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin terus dipelihara sebaiknya.
“Tahniah kepada YB Parlimen Kinabatangan dan YB DUN Lamag yang baharu, Mohd Kurniawan Naim Moktar serta Mohd Ismail Ayob atas kemenangan ini, dan dengan doa agar legasi khidmat dan kepemimpinan Allahyarham Bung Moktar Radin terus dipelihara sebaiknya,” ujarnya.








