Kerajaan MADANI Komited Penuhi Hak, Pembangunan Sabah – PM

Oleh: Nadhirah Akmam

PARLIMEN | Kerajaan MADANI kekal komited untuk memenuhi segala kewajipan terhadap Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk tanggungjawab di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika berucap di Dewan Rakyat pada Rabu, Anwar menyatakan bahawa kerajaan telah menunjukkan kemajuan ketara dalam menyelesaikan 13 tuntutan MA63 termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah Electricity Sdn. Bhd. dengan peruntukan tambahan sebanyak RM1.2 bilion bagi menjamin kelangsungan bekalan tenaga di negeri itu.

Beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Bekalan Air Sabah kini diiktiraf sebagai jabatan teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182, sekali gus membolehkan mereka meluluskan projek persekutuan bernilai sehingga RM50 juta.

Menurut Anwar, kajian semula pemberian khas kepada Sabah telah dilaksanakan secara sah mengikut Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan dengan kadar yang meningkat secara drastik daripada RM26.7 juta pada 2021 kepada RM600 juta pada tahun ini.

“Bayaran RM600 juta itu telah disempurnakan pada 10 September lalu kepada Kerajaan Sabah.

“Namun, ia bersifat sementara sementara kaedah baharu perkiraan pemberian khas dirumus bersama,” katanya.

Anwar turut menjelaskan bahawa perbelanjaan Kerajaan Persekutuan untuk Sabah kini mencecah RM17 bilion bagi tahun 2025 dan 2026, jumlah yang melebihi hasil negeri sekitar RM10 bilion setahun merangkumi subsidi, pembangunan dan pelbagai projek infrastruktur.

Antara projek utama yang sedang dilaksanakan ialah Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1B bernilai RM14 bilion, projek bekalan air bernilai RM1 bilion serta pelbagai inisiatif dalam sektor minyak dan gas yang menjana peluang pekerjaan bernilai RM2 bilion kepada kontraktor tempatan.

Beliau berkata, peningkatan kadar pemberian khas dan pelaburan pembangunan ini membuktikan tekad Kerajaan MADANI untuk menunaikan tanggungjawab terhadap Sabah secara adil dan menyeluruh.

“Peningkatan kadar pemberian khas dan pelbagai pelaburan pembangunan itu membuktikan tekad Kerajaan MADANI untuk menunaikan tanggungjawab terhadap Sabah, selaras dengan semangat MA63 dan prinsip keadilan antara wilayah,” tegasnya.

Anda Mungkin Berminat