Kerajaan MADANI Komited Selesai Isu Rakyat Sabah – PM

TULID: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus menyelesaikan pelbagai isu asas yang membelenggu rakyat Sabah termasuk bekalan air, elektrik dan capaian internet, demi menjamin kesejahteraan hidup masyarakat di negeri itu.

Beliau berkata, perkara tersebut antara yang disuarakan penduduk ketika menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Pemimpin dan Masyarakat di DUN Tulid, sempena lawatannya ke Sabah.

“Saya berpeluang bertemu pelbagai lapisan masyarakat dan mendengar sendiri suara serta keperluan mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Anwar berkata, kerajaan tidak akan membiarkan masalah lama yang gagal diselesaikan sebelum ini berlarutan, sebaliknya akan terus bekerja untuk rakyat tanpa terjebak dengan drama atau permainan politik.

“Hak rakyat wajib ditunaikan tanpa terpengaruh dengan drama atau permainan politik.

“Rakyat Sabah boleh menilai sendiri siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya muncul ketika memerlukan sokongan,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan retorik politik yang menjanjikan pelbagai perkara tetapi menghilang selepas memperoleh kuasa.

Menurutnya, kerajaan memahami harapan rakyat Sabah untuk menikmati kehidupan lebih baik, peluang ekonomi lebih luas serta pembangunan yang seimbang.

“Inilah yang sedang dan akan terus dilaksanakan Kerajaan MADANI melalui peruntukan negeri, STR, SARA dan pelbagai inisiatif di bawah Belanjawan 2026,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat