PARLIMEN | Kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk memastikan harga barangan keperluan asas kekal stabil serta kebajikan pengguna terus dilindungi di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, usaha itu dilaksanakan melalui pendekatan menyeluruh merangkumi pemantauan harga berasaskan data, intervensi dasar dan penguatkuasaan undang-undang.
Beliau berkata, pemantauan harga dilakukan secara berterusan di semua peringkat runcit, pasar raya, hipermarket, minimarket, pasar awam dan kedai runcit.
Data yang dikumpulkan dianalisis melalui sistem pemantauan kementerian bagi mengesan sebarang pergerakan harga yang tidak munasabah.
“Melalui mekanisme ini, sebarang pergerakan harga yang tidak munasabah dapat dikesan lebih awal.
“Sekiranya kenaikan harga dikenal pasti tidak selari dengan faktor kos sebenar, siasatan akan dijalankan dan tindakan intervensi termasuk penguatkuasaan akan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” jelasnya.
Fuziah berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, pada Sidang Dewan Rakyat, Selasa.
Menurut beliau, kerajaan turut mengakui kos logistik dan pengangkutan menjadi antara punca utama perbezaan harga barangan antara wilayah khususnya di pedalaman Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu, Program Pengedaran Barang akan diteruskan bagi memastikan bekalan barangan asas mencukupi dan rakyat dapat menikmatinya pada harga yang lebih stabil serta berpatutan.
Selain itu, KPDN sedang melaksanakan kajian penstabilan harga yang mengesahkan komponen logistik dan pengangkutan sebagai penyumbang terbesar kepada perbezaan harga antara wilayah.
Kajian itu memperincikan realiti kos sara hidup yang dihadapi rakyat di lapangan.
Berdasarkan dapatan kajian tersebut, Kerajaan MADANI telah menubuhkan Kumpulan Kerja Teknikal Penstabilan Harga melibatkan kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta pemain industri.
“Kumpulan kerja ini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kecekapan struktur kos logistik, memperkukuh rantaian bekalan serta mengoptimumkan penghantaran antara wilayah, selaras dengan matlamat memastikan kos sara hidup rakyat dapat dikawal secara lebih berkesan dan berterusan,” katanya.
Dalam masa sama, usaha membanteras kartel yang menjejaskan persaingan sihat dan menekan pengguna akan terus diperkukuh di semua peringkat rantaian bekalan.








