PETALING JAYA: Kerajaan MADANI diyakini mampu memperoleh sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat bagi melaksanakan pindaan perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada hanya 10 tahun.
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Faisal Abdul Aziz berkata, kedudukan kerajaan yang kukuh ketika ini memberikan kelebihan dalam mendapatkan dukungan Ahli Parlimen bagi sebarang usaha reformasi institusi.
“BERSIH yakin ia tidak menyukarkan kerajaan untuk mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, seperti mana kejayaan kerajaan meminda perlembagaan untuk menjayakan agenda menggubal semula Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.
“Kita juga yakin agenda ini akan disokong oleh Ahli Parlimen pembangkang demi masa depan negara yang lebih baik,” ciapnya dalam satu hantaran di platform X.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan sidang Parlimen akan datang adalah masa terbaik untuk membentangkan pindaan tersebut.
Tambahnya, pindaan boleh dibuat kepada Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan peraturan tersebut.
“Sekiranya pindaan tersebut dapat diluluskan, ia akan menjadi contoh yang baik dan harus diteladani oleh kerajaan negeri untuk menghadkan tempoh Menteri Besar, Ketua Menteri atau Premier dengan meminda perlembagaan negeri masing-masing,” ujarnya lagi.
Semalam, ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, kerajaan perlu meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Ujar beliau, perkara itu perlu dilakukan dalam tempoh 24 bulan memandangkan ia adalah manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang perlu ditunaikan.