Kerajaan Madani laksana reformasi institusi, perkukuh integriti perbelanjaan awam

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kerajaan Madani giat melaksanakan reformasi institusi secara menyeluruh sepanjang tahun 2025 menerusi langkah konkrit termasuk pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan yang mengehadkan kuasa Menteri Kewangan dalam keputusan berkaitan perolehan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, melalui RUU berkenaan, keputusan perolehan kerajaan boleh dicabar dan dikaji semula secara bebas, sekali gus meningkatkan tahap semak dan imbang dalam pengurusan kewangan awam.

Menurut beliau, kecekapan perkhidmatan awam turut dipertingkatkan seiring dengan usaha memperkukuh ketelusan audit kerajaan bagi memastikan pengurusan perbelanjaan negara dilaksanakan secara berintegriti.

“Reformasi ini bertujuan mengunci integriti perbelanjaan awam, memendekkan proses pentadbiran serta menutup ruang ketirisan sejak peringkat awal,” katanya di laman rasmi Facebooknya pada Khamis.

Anwar berkata, pelaksanaan reformasi berkenaan telah mempercepatkan penyampaian perkhidmatan, meningkatkan ketelusan pemantauan kewangan serta membolehkan risiko rasuah dikesan dan ditangani lebih awal.

Beliau turut menegaskan bahawa langkah tersebut berjaya memulihkan keyakinan pelabur dan meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global.

Untuk rekod, RUU Perolehan Kerajaan diluluskan Dewan Rakyat pada 27 Ogos 2025 dan Dewan Negara pada 8 September 2025 bertujuan memperkukuh tadbir urus, ketelusan, dan akauntabiliti dalam perolehan awam. Ia memperkenalkan mekanisme semak dan imbang, mengehadkan kuasa Menteri Kewangan, serta membolehkan tindakan undang-undang terhadap kesalahan perolehan. 

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat