PETALING JAYA: Kerajaan MADANI, hari ini, menegaskan komitmennya untuk menjaga integriti badan kehakiman dengan berpegang teguh kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan dan mekanisme undang-undang yang sedia ada.
Kenyataan tersebut hadir selepas perhimpunan yang dianjurkan oleh Badan Peguam Malaysia, berkait dengan isu pelantikan Ketua Hakim Negara dan kebocoran dokumen Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang mencetuskan keresahan awam berhubung ketelusan sistem kehakiman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Perkara 125(3) dan (4) Perlembagaan membolehkan Yang di-Pertuan Agong menubuhkan tribunal khas dan menggantung tugas hakim atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara.
Tambah Azalina, Ketua Hakim juga boleh membuat rujukan kepada Jawatankuasa Etika Kehakiman mengikut Akta 703 dengan Kod Etika Hakim 2009 menjadi asas penilaian kelakuan.
“Kerangka undang-undang ini memastikan kebebasan badan kehakiman dan mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kerajaan juga sedang melaksanakan Kajian Perbandingan Sistem Pelantikan Kehakiman bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memperjelas peranan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan mengundang Badan Peguam Malaysia untuk turut serta dalam kajian itu demi ketelusan dan integriti pelantikan hakim.
Tegas Azalina, sebarang isu berkait sistem kehakiman perlu ditangani dengan penuh berhemah, berpaksikan Perlembagaan dan undang-undang tanpa campur tangan politik sama ada dari pihak legislatif atau eksekutif.
“Kerajaan menyeru semua pihak agar terus menghormati proses perlembagaan yang menjadi asas kebebasan badan kehakiman negara,” katanya.
Beliau turut mengulangi prinsip MADANI yang menjunjung ketelusan dan keluhuran undang-undang.








