Kerajaan MADANI Luas Kategori Bantuan SARA, Makanan Sejuk Beku Kini Termasuk

PETALING JAYA: Kerajaan MADANI mengumumkan bahawa makanan sejuk beku kini dimasukkan sebagai salah satu kategori barangan dalam Sumbangan Asas Rahmah (SARA), sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat Malaysia dalam mendapatkan keperluan asas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya pada Isnin berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara bagi memastikan bantuan lebih relevan dengan keperluan semasa.

“Sukacita diumumkan, kerajaan bersetuju meluaskan kategori barangan SARA merangkumi makanan sejuk beku.

“Penglibatan kedai runcit kecil juga ditingkatkan kepada 10,000 menjelang akhir tahun dengan jarak capaian kedai SARA dikurangkan dalam lingkungan tujuh kilometer ketimbang 10 kilometer pada masa ini,” katanya.

Beliau turut berkata, bantuan SARA diberikan secara individu, bukan isi rumah.

Sebagai contoh, pasangan suami isteri dengan dua anak dewasa akan menerima sebanyak RM400 secara keseluruhan.

Anwar berharap bantuan itu dapat dimanfaatkan sebaiknya khususnya menjelang sambutan Tahun Baru Cina dan bulan Ramadan.

Sebelum ini, seramai 22 juta rakyat Malaysia mula menerima SARA sebanyak RM100 secara ‘one-off’ bermula Isnin.

Dalam kenyataan di Facebook Kementerian Kewangan (MOF), bantuan itu disalurkan sebagai usaha berterusan meringankan kos sara hidup rakyat.

“SARA untuk semua dikreditkan mulai 9 Februari 2026. RM100 secara ‘one-off’. Selamat berbelanja,” menurut kenyataan MOF.

Bantuan itu akan dikreditkan melalui MyKad dan boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas di lebih 10,000 kedai runcit serta pasar raya terpilih di seluruh negara.

Anda Mungkin Berminat