Kerajaan Madani lulus dana RM5 juta kepada Zoo Negara

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kerajaan Madani meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada Zoo Negara bagi mendukung usaha pembangunan dan penambahbaikan buat institusi pemuliharaan itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan di laman rasmi Facebooknya pada Sabtu.

“Kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM5 juta bagi mendukung usaha pembangunan dan penambahbaikan Zoo Negara, yakni sebuah institusi pemuliharaan yang tidak hanya mendidik masyarakat, malah menjadi sebahagian daripada warisan negara,” katanya.

Anwar memaklumkan peruntukan itu diumumkan sewaktu beliau berkunjung ke Zoo Negara pagi tadi bagi melihat seekor panda yang baru sahaja diterbangkan ke negara.

Katanya, suntikan dana yang banyak itu merupakan kesinambungan buat komitmen yang Kerajaan Madani telah umumkan pada tahun lalu.

Jelas Anwar, ianya turut mencerminkan iltizam serta tekad yang berterusan kepada Kerajaan Madani demi memastikan kebajikan haiwan, kemudahan awam serta pengalaman pengunjung yang hadir sentiasa diperkasa.

“Zoo Negara perlu terus dipelihara dan kekal sebagai ruang pendidikan dan riadah untuk keluarga, khususnya anak-anak kecil dan generasi penerus,” ujarnya.

Perdana Menteri turut menyeru bahawa usaha itu menuntut kerjasama oleh semua pihak iaitu Kerajaan, pengurusan Zoo Negara, sektor swasta serta masyarakat agar tanggungjawab memelihara khazanah alam dan hidupan liar dapat dipikul bersama demi masa depan yang lestari.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat