PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar menyelar pendekatan politik PAS yang disifatkan sebagai tidak membina, sebaliknya meruntuhkan negara melalui kemuflisan idea, retorik kosong dan dendam politik yang berpanjangan.
Dalam kenyataan media pada Selasa, Mahfuz berkata, gagasan Malaysia Madani bukan sekadar slogan tetapi satu dasar menyeluruh yang diterjemahkan melalui belanjawan, dasar ekonomi, pendidikan, kesejahteraan sosial dan diplomasi antarabangsa.
“Malaysia Madani bukan sekadar slogan kata-kata tetapi pendekatan menyeluruh yang menterjemahkan nilai rahmah, keadilan dan keberanian membuat perubahan,” katanya.
Sebaliknya, beliau menyifatkan PAS sebagai parti yang semakin hilang arah, hanya tampil dengan khutbah politik yang semakin tidak laku.
“Berbeza dengan PAS yang terus mengulangi dengan ketakutan jika tak menyokong PAS masuk neraka dan sokong PAS masuk syurga tetapi gagal menyediakan keadilan dan kesejahteraan di bumi,” tambahnya.
Kenyataan Mahfuz hadir sebagai respons terhadap dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan slogan Malaysia Madani sebagai alat untuk mengaburi rakyat dengan kefahaman sempit yang tidak berasaskan ilmu.
Mahfuz membalas bahawa kenyataan Hadi mencerminkan ketandusan idea dan kegagalan memahami nilai-nilai teras Malaysia Madani yang berasaskan rahmah, ilmu, kemajuan dan perpaduan.
“Beliau (Hadi Awang) lebih memilih jalan yang mudah melabel, memfitnah dan menakut-nakutkan rakyat,” ujarnya.
Beliau turut mendakwa Hadi sebagai individu yang paling banyak menabur janji manis tetapi akhirnya meninggalkan rakyat dalam kegelapan.
“Hadi Awang tidak pernah menjelaskan kepada rakyat, apa sebenarnya tawaran PAS selain ceramah politik berulang-ulang, politik dendam dan hukum-hakam agama yang hanya digunakan untuk menghalalkan kuasa.
“Inilah wajah politik sempit yang menyempitkan masa depan negara,” tegasnya.
Menurutnya, kenyataan Hadi menunjukkan kegelisahan PAS apabila melihat gagasan Malaysia Madani semakin diterima rakyat kerana ia berteraskan dasar, pelan dan tindakan nyata, bukan sekadar retorik dan janji kosong.