Kerajaan MADANI Percepat Agenda Digital, Sasar Jadi Negara AI Menjelang 2030

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bil. 1/2026 bagi memastikan pelaksanaan agenda digital dan kecerdasan buatan (AI) negara digerakkan dengan lebih pantas, tersusun dan berkesan demi kepentingan rakyat.

Dalam pertemuan tersebut, Anwar berkata, setiap kementerian dan agensi mesti mempertingkat serta mempercepat pelaksanaan keputusan-keputusan yang telah dipersetujui sebelum ini termasuk persiapan pelancaran Malaysia Digital 2030 (MD2030) pada April 2026.

“MD2030 bakal menjadi pemacu utama agenda digital dan AI ke arah menjadikan Malaysia sebuah Negara AI menjelang 2030.

“Mesyuarat turut memberi penekanan terhadap usaha memperhebat pendaftaran MyDigital ID khususnya bagi aplikasi kerajaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau, langkah itu disertai dengan kewajipan integrasi sistem baharu serta penyepaduan sistem sedia ada bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan lebih cekap, bersepadu dan berteraskan keperluan rakyat.

Turut dibentangkan dalam mesyuarat ialah inisiatif Government Innovation Initiative (GII) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Digital, yang berpotensi memberi impak besar kepada penambahbaikan sistem kesihatan negara.

Selain itu katanya, Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (National AI Office, NAIO) turut memberi input mengenai pembangunan dasar AI berasaskan bakat tempatan, meliputi pelbagai sektor serta memastikan peluang penyertaan yang inklusif kepada semua peringkat umur.

“Dalam pertemuan ini, saya menegaskan bahawa setiap kementerian dan agensi mesti mempertingkat serta mempercepat pelaksanaan keputusan-keputusan yang telah dipersetujui sebelum ini termasuk persiapan pelancaran Malaysia Digital 2030 (MD2030) pada April 2026 sebagai pemacu utama pelaksanaan agenda digital dan AI ke arah menjadikan Malaysia sebuah Negara AI menjelang 2030,” katanya.

Anda Mungkin Berminat