PETALING JAYA: Usaha memperkukuh infrastruktur digital di Sabah terus dipacu di bawah Kerajaan Madani menerusi Kementerian Komunikasi dengan tumpuan kepada liputan rangkaian, kestabilan capaian dan pemerkasaan komuniti setempat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya telah melaksanakan tinjauan terhadap pelaksanaan projek Jendela Fasa yang memberi manfaat liputan 4G kepada pengguna CelcomDigi, Maxis dan U Mobile.
Liputan tersebut katanya, kini mencapai purata kelajuan 90 Mbps melalui teknologi Starlink, sementara menunggu sambungan gentian optik tetap.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerja penambahbaikan peralatan telekomunikasi sedang giat dijalankan di Kampung Tulung, Penampang bagi menjamin kestabilan rangkaian khususnya di kawasan yang sering dilanda banjir.
“YB Menteri (Datuk Fahmi Fadzil) turut meluangkan masa bertemu komuniti dan anak muda di Pusat NADI Kampung Kopimpinan, Putatan sempena Hari Bersama Komuniti (HBK) dan Temu Anak Muda yang menampilkan pelbagai modul di bawah Perkhidmatan Pintar NADI,” kata MCMC dalam satu hantaran di Facebook.
Program NADI yang digerakkan oleh Kementerian Komunikasi kini telah menarik penyertaan lebih 16,000 belia Sabah dengan jumlah keahlian mencecah 50,000 orang di seluruh negeri.
Inisiatif itu dilihat sebagai platform penting untuk memperkasa generasi muda dengan kemahiran digital dan akses kepada teknologi.
Lawatan kerja menteri itu turut merangkumi tinjauan terhadap projek Wi-Fi Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), yang menyediakan sambungan Internet percuma dan stabil kepada keluarga anggota tentera.
“Ianya melambangkan komitmen berterusan Kementerian Komunikasi dan MCMC untuk memastikan rakyat Sabah menikmati capaian digital yang menyeluruh dan inklusif,” kata MCMC lagi.








