Kerajaan MADANI Perkasa Wanita Dalam STEM Menerusi Usaha Rentas Kementerian

Oleh: Tyah Helmi

PARLIMEN | Kerajaan MADANI terus memperkukuh agenda pemerkasaan wanita dengan memberi tumpuan kepada penyertaan golongan wanita dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Usaha itu dilaksanakan secara rentas kementerian, melibatkan pelbagai agensi utama bagi memastikan wanita bukan sahaja tertarik untuk menceburi bidang tersebut sejak di bangku sekolah, malah kekal dan maju dalam kerjaya STEM selepas bergelar graduan.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, pendekatan itu dilaksanakan secara menyeluruh dengan pelbagai program yang memberi manfaat kepada ribuan wanita di seluruh negara.

“Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga komited dalam memperkasa penyertaan wanita dalam STEM.

“Menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), KPWKM telah dan kini meneruskan pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kemahiran, literasi digital serta penglibatan wanita dalam ekosistem teknologi dan ekonomi digital.

“Sehingga Oktober 2025, JPW telah melaksanakan sebanyak 40 program berkaitan digital dan STEM, melibatkan lebih 6,000 wanita di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator NorHasmimi Abdul Ghani di sidang Dewan Negara pada Khamis, yang meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan menarik minat pelajar perempuan dalam STEM serta memastikan graduan wanita terus kekal dalam bidang tersebut.

Nancy berkata, pelaksanaan STEM diterajui secara bersepadu oleh beberapa kementerian dan agensi utama.

Antaranya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebagai peneraju dasar dan program nasional berkaitan STI/STEM, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui program STEM di peringkat sekolah serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memupuk bakat di universiti dan institusi pengajian tinggi dengan kerjasama industri.

Beliau berkata, STEM bukan sahaja merangkumi bidang sains tulen seperti Biologi, Kimia dan Fizik tetapi turut melibatkan teknologi moden dan kejuruteraan digital termasuk sains komputer, teknologi digital, data sains dan inovasi.

Nancy turut menekankan kejayaan Program Wanita Gig and Business in Technology (Wanita Gig@BIT) yang dilaksanakan sejak 2024.

Program itu bertujuan menggalakkan wanita menjana pendapatan melalui ekonomi digital, meningkatkan literasi digital serta kemahiran keselamatan siber.

“Pada 2025, lebih 7,600 peserta menyertai program berkenaan secara fizikal dan dalam talian,” katanya.

Selain itu, KPWKM turut melaksanakan pelbagai program lain seperti Program Pemerkasaan Graduan Bidang STEM ke Alam Pekerjaan dengan kerjasama Mereka Academy, Program Kesedaran Asas Generative AI dan Keselamatan Siber bersama IWFCIM, serta eKelas Usahawan@JPW dan Kelas Fotografi Asas Canon dengan kerjasama Maxis Berhad dan Canon Marketing Malaysia.

Anda Mungkin Berminat