Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kerajaan Madani giat memastikan komuniti nelayan dan industri perikanan negara terus diperkukuh dengan lebih strategik dan menyeluruh.
Menerusi kenyataan di laman rasmi Facebook, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan dan Pemerkasaan Nelayan Bil.1/2026 di parlimen pada Rabu.
“Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan dan Pemerkasaan Nelayan Bil.1/2026 yang kini dijenamakan semula sebagai Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan dan Pemerkasaan Industri Perikanan (JPT-PPIP).
“Penjenamaan semula ini mencerminkan hala tuju baharu Kerajaan dalam memperkukuh keseluruhan ekosistem industri perikanan negara meliputi perikanan tangkapan, perikanan darat serta sektor akuakultur secara lebih bersepadu dan mampan,” katanya.
Ahmad Zahid memaklumkan fokus utama mesyuarat tersebut adalah memperkasa pembangunan industri tuna sebagai sektor yang bernilai tinggi dan berpotensi menjadikan Malaysia sebagai hab tuna serantau.
“Pembangunan rantaian bekalan tuna yang lebih cekap daripada pendaratan hingga pemprosesan diyakini mampu membuka peluang ekonomi baharu serta meningkatkan daya saing industri perikanan negara,” ujarnya.
Jelas beliau, mesyuarat turut meneliti cadangan pembinaan Kompleks Pendaratan Ikan di Hutan Melintang, Perak dan Sandakan, Sabah sebagai langkah strategik memperkukuh infrastruktur industri serta meningkatkan kecekapan operasi dan pemasaran hasil perikanan tempatan.
Sehubungan itu, selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara, pelbagai inisiatif berimpak tinggi terus dilaksanakan termasuk pemodenan vesel nelayan menggunakan teknologi automasi dan mesra alam, pemerkasaan kapasiti limbungan bot serta pembangunan fasiliti sokongan industri.
Pada masa sama, Kerajaan Madani kekal komited memastikan kebajikan komuniti nelayan terus terbela melalui pelbagai bentuk bantuan dan insentif termasuk Elaun Sara Hidup Nelayan, insentif hasil tangkapan, diesel bersubsidi serta bantuan perumahan khusus untuk nelayan B40.
“Saya yakin melalui kerjasama erat antara kementerian, agensi serta pemain industri, sektor perikanan negara mampu berkembang secara lebih progresif, berdaya saing dan kekal menjadi sumber rezeki mampan kepada komuniti nelayan.
“Insya-Allah, agenda memperkasa komuniti nelayan akan terus menjadi keutamaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat serta keterjaminan bekalan makanan negara terus terpelihara,” katanya.
Baca juga:








