PARLIMEN | Kerajaan MADANI terus mengiktiraf potensi besar industri kreatif sebagai pemangkin ekonomi baharu dengan menyalurkan peruntukan keseluruhan RM150 juta bagi memperkukuh ekosistem ekonomi jingga merangkumi filem, muzik, animasi dan kandungan digital.
Dalam pembentangan Belanjawan Rakyat di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan sebanyak RM110 juta insentif galakan disediakan kepada penerbit filem tempatan dan antarabangsa bagi menghasilkan karya berkualiti tinggi di Malaysia termasuk RM10 juta khusus bagi penerbitan kandungan berunsur kenegaraan yang memupuk semangat patriotisme dan nilai Malaysia MADANI.
Dalam masa sama, RM10 juta diperuntukkan untuk insentif penganjuran konsert artis tempatan dan antarabangsa yang bertujuan menarik pelancong asing menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi dan pelancongan domestik.
“Kerajaan turut memperuntukkan RM20 juta bagi menyokong Ekosistem Kreatif Digital termasuk penggiat animasi dan permainan digital tempatan yang semakin mendapat tempat di peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Sebagai langkah tambahan, kerajaan juga memberi kelonggaran perolehan kepada semua kementerian dan jabatan untuk mendapatkan produk ‘merchandise’ dan kandungan digital tempatan bagi menggalakkan hasil karya kreatif anak watan dipasarkan secara lebih meluas.