PETALING JAYA: Kerajaan MADANI akan mula menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 tahun 2026 bermula 20 Januari ini, dengan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion.
Bantuan itu dijangka memberi manfaat kepada 3.7 juta isi rumah serta 1.3 juta warga emas yang tiada pasangan.
Menurut kenyataan media Kementerian Kewangan (MOF), penerima akan menerima antara RM100 hingga RM500, bergantung kepada kategori kelayakan masing-masing.
Bagi memastikan bantuan lebih berkesan dalam meringankan kos sara hidup, Kerajaan MADANI telah menyusun semula pemberian STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mulai tahun 2026.
“Selaras dengan usaha Kerajaan MADANI untuk memastikan inisiatif kerajaan dapat mengurangkan beban kos sara hidup secara lebih berkesan.
“Kerajaan telah menyusun semula pemberian STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun 2026.
“Di bawah penambahbaikan ini, lebih lapan juta rakyat layak menerima bantuan SARA secara bulanan termasuk 400,000 golongan miskin dan miskin tegar berdasarkan pangkalan data eKasih.

“SARA kini menjadi bentuk bantuan asas dengan sokongan berterusan kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.
MOF berkata, STR pula akan diberikan sebagai bantuan tambahan secara suku tahunan, disasarkan kepada isi rumah serta warga emas bujang berpendapatan RM5,000 ke bawah sebulan termasuk mereka yang berdaftar dengan eKasih.
Menurut MOF, pendekatan bersepadu itu bertujuan memastikan bantuan bersasar disalurkan secara lebih teratur, stabil dan berkesan, selain memberi ruang kewangan tambahan pada waktu puncak seperti musim perayaan.
Difahamkan, jumlah keseluruhan peruntukan STR dan SARA bagi tahun 2026 adalah RM15 bilion, menjadikannya yang tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan.
Dalam kenyataan sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan bahawa kerangka ekonomi di bawah Kerajaan MADANI mendambakan lantai kehidupan rakyat dinaikkan agar semua mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.
“Tatkala rakyat terbela dan keperluan asas dipenuhi, nescaya siling ekonomi dapat kita naikkan bersama dengan lebih bermaya dan lestari,” katanya.
Bagi mengurangkan risiko keciciran, permohonan baharu dan rayuan STR kini dibuka sepanjang tahun melalui portal rasmi bantuantunai.hasil.gov.my.
Maklumat mengenai status pengkreditan serta soalan lazim (FAQ) SARA pula boleh disemak di portal rasmi sara.gov.my.
Untuk info, kelayakan STR ditentukan berdasarkan had pendapatan yang ditetapkan.
Setiap permohonan akan melalui proses semakan dan verifikasi dengan pelbagai agensi kerajaan.
Bagi pemohon baharu, semakan berkala akan dilakukan setiap suku tahun melibatkan pemilikan kediaman, kenderaan, perniagaan, serta rekod bekerja atau menetap di luar negara.
“Sekiranya didapati wujud maklumat palsu atau tidak tepat, tindakan undang-undang boleh diambil.
“Kerajaan juga berhak menarik balik mana-mana bantuan yang diluluskan sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” jelas MOF.
MOF turut mengingatkan penerima STR agar berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Sebagai langkah keselamatan, kementerian menegaskan bahawa ia tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp dan penerima disaran merujuk hanya kepada portal rasmi STR untuk maklumat terkini.







