Kerajaan MADANI Sasar Malaysia Jadi Hab Halal Global

PETALING JAYA: Kerajaan MADANI menetapkan aspirasi besar untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Halal Global dengan keyakinan bahawa industri halal negara mempunyai masa depan yang cerah dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, terdapat lima inisiatif strategik berimpak tinggi yang bakal dilaksanakan bagi merealisasikan matlamat tersebut.

Antara langkah utama ialah pembangunan Pelabuhan Mesra Halal pertama negara di Pelabuhan Kuantan, yang dijangka menjana nilai ekonomi sebanyak RM15 bilion serta mewujudkan lebih 13,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 15 tahun.

“Perkara ini telah diperhalusi dalam Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) Bil. 2/2025 yang memutuskan langkah konkrit bagi memperkukuh ekosistem industri halal secara menyeluruh, meliputi aspek logistik, pembiayaan, pelancongan, pembangunan negeri dan tadbir urus taman industri halal,” katanya selepas menghadiri mesyuarat tersebut di Putrajaya.

Menurut Zahid, pelaksanaan inisiatif itu akan meletakkan Pelabuhan Kuantan sebagai Hab Halal Pantai Timur yang bersepadu, memperkukuh integriti dan kebolehkesanan halal serta meningkatkan kecekapan rantaian logistik.

Langkah itu sekali gus diyakini mampu melonjakkan daya saing dan eksport halal Malaysia di peringkat serantau dan global.

Mesyuarat turut membincangkan mengenai akses pembiayaan industri halal yang dibentangkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), susulan Belanjawan 2026 Malaysia MADANI.

Zahid berkata, walaupun pelbagai inisiatif pembiayaan telah disediakan, tahap penyaluran pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) halal masih rendah terutamanya akibat kekangan cagaran fizikal.

“Walaupun pelbagai inisiatif pembiayaan telah disediakan, tahap penyaluran pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) halal masih rendah, terutamanya akibat kekangan cagaran fizikal,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi MPIH menekankan keperluan pengukuhan koordinasi antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan institusi kewangan, di samping pemerkasaan proses dokumentasi serta peningkatan kefahaman terhadap penilaian risiko perniagaan halal bagi memastikan akses pembiayaan yang lebih inklusif dan berkesan.

Selain itu, mesyuarat turut menekankan peranan Islamic Tourism Centre (ITC) dalam memperkukuh ekosistem pelancongan Islam melalui pemerkasaan konsep Muslim-Friendly Tourism & Hospitality.

Malaysia terus menunjukkan momentum positif dalam sektor ini apabila merekodkan 5.4 juta ketibaan pelancong Muslim dengan perbelanjaan mencecah RM19.54 bilion pada tahun 2024.

“Seluruh ahli mesyuarat sebulat suara bahawa Program Muslim-Friendly Assurance Recognition (MFAR) perlu diselaraskan dengan garis panduan pensijilan halal dalam sektor perhotelan bagi memastikan keseragaman standard, meningkatkan tahap pematuhan serta memperkukuh keyakinan pelancong Muslim terhadap perkhidmatan dan kemudahan di Malaysia,” katanya.

Agenda mesyuarat turut menyentuh mengenai Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 (PKHNJ 2030) yang dibentangkan oleh PIJ Holdings Sdn. Bhd.

Pelan tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan industri halal di negeri itu khususnya di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

“Pelan ini menggariskan tujuh hala tuju strategik dan 21 inisiatif utama termasuk cadangan penubuhan Johor Halal Development Corporation (JHDC) sebagai Agensi Fasilitasi Halal Negeri Johor.

“Saya menggalakkan negeri-negeri lain untuk mencontohi pendekatan proaktif ini bagi memastikan pembangunan industri halal yang seimbang dan selari dengan matlamat nasional,” katanya.

Mesyuarat turut membincangkan inisiatif strategik oleh Halal Development Corporation (HDC) berhubung cadangan Kerangka Kerja HALMAS baharu yang akan diselaraskan melalui Jawatankuasa Pelaksanaan HALMAS dengan sokongan agensi peneraju.

Di bawah kerangka itu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan memimpin usaha promosi dan tarikan pelaburan strategik ke dalam Taman Industri Halal HALMAS, HDC akan memfokuskan pembangunan industri, pemudah cara pensijilan serta pengukuhan tadbir urus, manakala Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan mempergiat promosi eksport produk halal.

Pelaksanaan Kerangka Insentif Baharu (NIF) pula akan dimanfaatkan bagi meningkatkan penyertaan industri dan daya saing ekosistem halal negara.

Anda Mungkin Berminat