Kerajaan Madani serius mahu lindungi pelajar Tahfiz dari ngeri buli – Zahid

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kerajaan Madani memandang serius dan kesal terhadap insiden-insiden tular melibatkan keganasan terhadap pelajar institusi pendidikan agama.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kebimbangan itu turut melibatkan kejadian di Sabah serta rakaman penderaan fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz pada baru-baru ini.

“Kerajaan menegaskan bahawa sebarang bentuk kekerasan, penderaan atau layanan yang mencabul maruah kanak-kanak tidak boleh diterima sama sekali, lebih-lebih lagi dalam institusi yang sepatutnya menjadi medan pembinaan akhlak, ihsan dan kasih sayang,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Ahmad Zahid turut menjelaskan perbuatan buli bukan sahaja mencederakan mangsa malah mencemar nama baik pendidikan Islam dan institusi tahfiz yang selama ini menjadi benteng pembentukan sahsiah ummah.

“Sehubungan itu, saya berharap tindakan undang-undang diambil secara segera dan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah, selaras dengan peruntukan perundangan sedia ada, demi menegakkan keadilan dan mencegah kejadian seumpama ini daripada berulang,” ujarnya.

Dalam nada tegas beliau berkata, insiden terpencil seperti itu tidak mewakili keseluruhan ekosistem pendidikan tahfiz negara.

Jelas beliau, majoriti institusi tahfiz, guru dan para ustazah telah melaksanakan amanah mendidik para pelajar dengan penuh dedikasi, hikmah dan tanggungjawab.

Bagi memperkukuh perlindungan para pelajar serta tadbir urus institusi tahfiz secara menyeluruh, kerajaan sedang mempergiat usaha ke arah pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0, yang dijadualkan pelancarannnya pada tahun hadapan.

Katanya, dasar itu akan memberi tumpuan antaranya kepada penguatkuasaan pematuhan undang-undang, pemantapan kurikulum model Pendidikan Tahfiz Kebangsaan, pemerkasaan modal insan dan tadbir urus institusi, perluasan laluan pendidikan serta kebolehpasaran huffaz.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat