Kerajaan Madani serius tingkat keselamatan negara – PM

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan serius dalam meningkatkan kecekapan agensi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan tahanan.

Beliau berkata Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 7 bersetuju untuk memasang Sistem Televisyen Litar Tertutup (CCTV) berteknologi tinggi di semua pusat tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan lokap Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di seluruh negara.

“Pelaksanaan ini merupakan inisiatif strategik Kerajaan selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) dalam memenuhi keperluan semasa agensi penguatkuasaan.

“Bagi menghadapi cabaran keselamatan serta memperkukuh pemantauan terhadap kawasan tahanan,” katanya menerusi Facebook pada Jumaat.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kerajaan turut memandang serius insiden berulang melibatkan pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara.

“Ia bukan sahaja melanggar kedaulatan maritim negara, bahkan menyebabkan ketirisan hasil laut negara yang menjejaskan ekonomi dan sumber rezeki nelayan tempatan,” tegasnya.

Justeru, mesyuarat bersetuju supaya isu berkaitan perairan negara dapat diatasi menerusi kerjasama strategik antara Malaysia dan negara-negara terlibat.

“Reformasi dasar dan perundangan yang dipersetujui hari ini mencerminkan iltizam Kerajaan dalam memastikan perkhidmatan awam sentiasa responsif terhadap keperluan keselamatan negara.

“Malah mendukung prinsip kecekapan, ketelusan dan keberkesanan dalam tatakelola sektor awam,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat