PARLIMEN | Kerajaan MADANI menegaskan komitmen penuh dalam menangani beban penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin meningkat di Malaysia.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan sentiasa bersedia dengan pelbagai langkah proaktif bagi mencegah dan merawat penyakit tersebut.
Menurut beliau, beban ekonomi akibat NCD seperti kardiovaskular, kanser, diabetes dan penyakit paru-paru kronik dianggarkan mencecah RM64.2 bilion.
Angka itu merangkumi kos rawatan kesihatan langsung sebanyak RM12.4 bilion serta kerugian tidak langsung seperti kehilangan produktiviti akibat ketidakhadiran kerja dan kematian pramatang bernilai RM51.8 bilion.
“Beban ini akan terus meningkat sekiranya NCD tidak dikesan dan dikawal dengan berkesan kerana penyakit ini boleh menyebabkan komplikasi serius yang memerlukan rawatan hospital yang kompleks dan berulang.
“Diabetes, misalnya, boleh mengakibatkan komplikasi makrovaskular seperti penyakit jantung dan strok serta komplikasi mikrovaskular seperti kegagalan buah pinggang, kebutaan dan amputasi.
“Manakala merokok pula meningkatkan risiko penyakit paru-paru kronik dan penyakit kardiovaskular,” katanya.
Dr Dzulkefly berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, mengenai tahap kesiapsiagaan hospital kerajaan dalam menghadapi NCD termasuk peruntukan khusus serta langkah pencegahan awal.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyediakan peruntukan khas dalam Belanjawan 2026.
Antara inisiatif yang diumumkan ialah RM10 juta untuk Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) bagi memperluas saringan faktor risiko NCD kepada rakyat berumur 18 tahun ke atas.
Selain itu katanya, sebanyak RM80 juta diperuntukkan untuk Program PeKa B40 yang menyediakan saringan kesihatan percuma kepada golongan B40, manakala RM1.7 juta disalurkan kepada Inisiatif War on Sugar, iaitu kempen advokasi pemakanan sihat bagi mengurangkan pengambilan gula berlebihan.
Bagi membantu rakyat mengurangkan risiko komplikasi seperti penyakit buah pinggang dan kegagalan jantung, kerajaan turut memperuntukkan RM45.4 juta bagi memperluas akses kepada ubat SGLT2 inhibitors untuk rawatan diabetes.
Ubat itu terbukti dapat mengurangkan risiko komplikasi serius yang sering dikaitkan dengan penyakit tersebut.
Tegas beliau, hospital-hospital KKM sentiasa bersedia menangani kes-kes komplikasi diabetes dan penyakit jantung.
Pelbagai langkah telah diambil untuk meningkatkan kemampuan hospital dalam merawat NCD termasuk pengukuhan perkhidmatan dan penempatan pakar residen serta subkepakaran dalam bidang perubatan dalaman, kardiotorasik, endokrinologi, kardiologi, nefrologi dan geriatrik.
“KKM turut melaksanakan ‘Inisiatif Special Interest Group (SIG)’ iaitu pelaksanaan latihan berstruktur untuk satu tempoh tertentu untuk pegawai perubatan, yang mana akan membantu mewujudkan akses kepada sebahagian dari perkhidmatan kepakaran atau subkepakaran berkaitan NCD di hospital-hospital KKM tanpa pakar residen,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh infrastruktur dan kapasiti rawatan invasif jantung, kerajaan turut merancang pembinaan Makmal Invasif Kardiologi (ICL) baharu di Hospital Melaka, Hospital Miri, Hospital Sibu dan Hospital Tawau yang dijangka beroperasi pada tahun 2027.
Penambahan dua lagi ICL di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang pula dijangka siap pada 2028, sebagai tambahan kepada tujuh ICL sedia ada.
Selain itu, penggantian peralatan ICL di 10 hospital dengan perkhidmatan kardiologi turut dilaksanakan bagi memastikan rawatan invasif dapat diberikan dengan lebih berkualiti dan selamat.
Usaha itu bermula sejak RP3 RMK-12 dan akan diteruskan sehingga tahun semasa.








