Kerajaan MADANI Suntik Dana Tambahan RM20 Juta Kepada SMJKC Seluruh Negara

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) di seluruh negara bagi menambah baik kemudahan dan keperluan asas sekolah.

Dalam ucapannya pada Ahad, Anwar berkata, pemberian peruntukan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh sektor pendidikan, selain memastikan kemudahan sekolah terus dipertingkatkan selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.

Beliau turut menekankan bahawa Kerajaan MADANI akan terus memastikan tiada kumpulan masyarakat yang terpinggir dengan segala bantuan pembangunan, pendidikan dan kebajikan disalurkan tanpa mengira kaum atau wilayah.

“Ini kerana kepemimpinan yang sebenar menuntut kita merasai denyut nadi setiap rakyat, sama ada di kampung Melayu, perkampungan Cina, estet India atau pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Dengan semangat Gong Xi Fa Cai, mari bersama mengangkat Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang demi masa depan generasi akan datang,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina di SMJKC Khantan Baru, di mana beliau turut bersama masyarakat setempat meraikan perayaan penuh warna-warni itu.

Dalam suasana harmoni dan muhibah, Anwar menekankan bahawa kepelbagaian kaum dan budaya adalah kekuatan utama negara.

“Malaysia ibarat sebuah keluarga besar, berbeza latar namun bersatu dalam semangat saling menghormati dan berkongsi kegembiraan,” katanya.

Tambah beliau, keamanan dan perpaduan merupakan prasyarat utama kemajuan dan keunikan Malaysia yang dihuni oleh pelbagai kaum Melayu, Cina, India serta masyarakat Sabah dan Sarawak wajib dipelihara.

“Saya percaya bahawa keamanan dan perpaduan ialah prasyarat utama kemajuan.

“Negara yang dihuni pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India serta masyarakat Sabah dan Sarawak adalah keunikan kita yang wajib dipelihara,” kata beliau.

Anda Mungkin Berminat