Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Biarpun Kelantan dikuasai blok pembangkang, Kerajaan Madani tidak lupakan negeri itu ketika mana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) berpotensi diangkat sebagai hab serantau yang strategik, termasuk bagi pasaran Selatan Thailand.
Beliau berkata, perancangan strategik yang tepat serta pembukaan jaringan pengangkutan antarabangsa ke bandar utama seperti Singapura, Jakarta dan Bangkok mampu membawa limpahan manfaat ekonomi yang besar kepada Kelantan.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, pendekatan lebih terbuka dalam menyokong pembangunan infrastruktur pengangkutan bukan sahaja memberi kelebihan kepada rakyat tempatan, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh.
“Selain memenuhi keperluan rakyat yang memanfaatkan kemudahan ini, ia juga penting untuk meningkatkan kegiatan ekonomi, perdagangan dan pelancongan.
“Potensi yang ada pada Kelantan tidak mungkin terpinggir sekiranya diberikan perhatian dan tumpuan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian terminal baharu LTSIP, pada Sabtu
Dalam pada itu, Anwar menegaskan langkah proaktif itu dijangka merancakkan ekonomi tempatan serta meletakkan Kelantan di landasan tepat untuk terus maju seiring arus pembangunan negara.
Perdana Menteri turut memuji kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan dalam memastikan kejayaan projek LTSIP yang bernilai RM440 juta.
Jelas beliau, projek berskala besar itu tetap diteruskan atas nilai strategiknya kepada negara, meskipun berdepan kekangan ekonomi semasa keputusan pelaksanaannya dibuat.
Katanya, kerajaan sentiasa mengambil pendekatan realistik dalam merangka pembangunan negara dengan mengetepikan perbezaan pandangan sekiranya ia membawa manfaat kepada rakyat.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Kelantan atas kerjasama penuh yang diberikan bagi menjayakan projek ini,” katanya.
Sementara itu, Anwar menegaskan kejayaan menyiapkan kemudahan infrastruktur berkenaan hanyalah langkah permulaan dan tidak seharusnya terhenti setakat pembinaan fizikal semata-mata.
Beliau menggesa jentera Kerajaan Persekutuan dan negeri supaya proaktif merangka langkah susulan bagi mengoptimumkan kemudahan sedia ada melalui sinergi pelbagai sektor termasuk perdagangan, pelaburan, pengangkutan, pelancongan dan pertanian.
Baca juga:








