Kerajaan MADANI Tegas Isu Pijak Al-Quran, Pelaku Ditahan Serta-Merta

PETALING JAYA: Kerajaan MADANI menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penghinaan terhadap kitab suci Al-Quran, apabila bertindak segera menahan seorang mahasiswa yang terlibat dalam insiden memijak kalam suci umat Islam sehari selepas kejadian berlaku.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, tindakan pantas itu diikuti dengan pendakwaan di mahkamah pada Selasa.

“Kerajaan MADANI tidak akan sesekali bertolak ansur dengan sebarang bentuk penghinaan terhadap agama Islam khususnya terhadap kitab suci Al-Quran,” katanya.

Tunku Nashrul turut mengingatkan bahawa Malaysia ditadbir sebagai sebuah negara hukum yang berpaksikan undang-undang.

“Seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, negara ini adalah negara hukum yang ditadbir berpaksikan undang-undang.

“Keadilan hakiki menuntut proses pengadilan yang telus, bukannya penghukuman tanpa usul periksa,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyeru rakyat agar merujuk sumber yang benar dan boleh dipercayai sebelum berkongsi maklumat serta mengelakkan media sosial dijadikan platform menyebarkan tohmahan tanpa fakta.

Katanya, rakyat perlu memberi ruang kepada proses undang-undang berjalan dengan adil dan telus, tanpa memperalat kesucian agama untuk kepentingan politik kepartian.

“Kerajaan MADANI memandang serius penyebaran fitnah yang berniat jahat, tohmahan dan rujukan palsu yang sengaja disebarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Tindakan ini secara jelas bertujuan untuk memburukkan usaha-usaha kerajaan dan menggugat ketenteraman awam dengan mencampuradukkan isu-isu yang berbeza,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat