PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap agenda pembangunan benar-benar menyentuh keperluan rakyat khususnya di Terengganu.
Dalam lawatan kerja ke negeri itu, beliau merasmikan majlis pecah tanah Kolej Matrikulasi Terengganu (KMT) di Bukit Payong, Marang iaitu sebuah projek yang telah lama diperkatakan sejak 2009 dan akhirnya dizahirkan pada tahun 2026 di bawah tatakelola beliau.
“Usai tiba, saya terus ke Bukit Payong, Marang bagi majlis pecah tanah Kolej Matrikulasi Terengganu (KMT), sebuah projek yang sekian lama diperkatakan sejak 2009 dan akhirnya dizahir pada 2026,” katanya.
Anwar berkata, projek tersebut menjadi simbol kesungguhan Kerajaan MADANI dalam menterjemah aspirasi rakyat kepada tindakan nyata berteraskan nilai ihsan dan keadilan, tanpa pilih kasih.
“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus memperluas akses pendidikan kepada anak-anak Malaysia demi masa depan yang lebih baik untuk semua,” katanya.
Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM27 juta bagi tahun 2026 untuk pembangunan KMT, yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 pelajar dengan kemudahan akademik serta prasarana moden yang kondusif.
“Saya berpesan kepada anak-anak, jangan sekali-kali memandang ringan nilai pendidikan, manfaatkan setiap peluang yang ada untuk mengubah nasib diri dan keluarga.
“Seterusnya bangkit sebagai generasi yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing dalam mendepani cabaran masa hadapan,” katanya.








