Kerajaan MADANI Terus Fokus Laksana Perjanjian Malaysia 1963

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus menjadi antara keutamaan utama Kerajaan MADANI.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi komitmen bahawa kerajaan akan terus meneliti dan menyelesaikan perkara-perkara berkaitan MA63 yang masih tertangguh.

Menurut beliau, pelaksanaan MA63 dilaksanakan melalui proses perbincangan dan rundingan berterusan, khususnya menerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2026 pada Jumaat. Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi.

Dusuki turut memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) akan terus memainkan peranan aktif dalam memudah cara rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah, khususnya berkaitan semakan kadar geran khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, katanya, Kerajaan Persekutuan juga sedang meneliti beberapa perkara lain dalam rundingan bersama Sabah dan Sarawak, termasuk cadangan penambahan bilangan kerusi Parlimen bagi wakil dari kedua-dua negeri tersebut.

“Antara perkara lain yang sedang dikaji ialah pemerkasaan kuasa negeri dalam pengurusan sisa terjadual, yang ketika ini tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan semua perkara berkenaan memerlukan perbincangan yang menyeluruh dan berhati-hati, terutamanya apabila melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang berkaitan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa AGC memikul tanggungjawab besar untuk memastikan setiap cadangan reformasi undang-undang dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta benar-benar mencerminkan aspirasi yang termaktub dalam MA63.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat