LANGKAWI: Kerajaan MADANI terus menunjukkan komitmen teguh dalam memelihara kedaulatan dan keselamatan negara melalui pengukuhan keupayaan pertahanan, selaras dengan penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan segmen Maritim LIMA’25 semalam dan menyaksikan demonstrasi ketenteraan yang mempamerkan kecekapan serta pergerakan taktikal pasukan keselamatan negara.
Beliau turut menaiki kapal KD Perantau bagi acara Fleet Review dan menerima penghormatan daripada kapal-kapal yang mengambil bahagian.
“Saya melihat sendiri tahap kesiapsiagaan, kepakaran, dan aset strategik milik angkatan keselamatan kita.
“Saya amat yakin bahawa keselamatan rakyat dan kedaulatan negara sentiasa berada dalam keadaan terpelihara,” kata Perdana Menteri.
Kerajaan MADANI menegaskan bahawa aspek keselamatan dan kedaulatan negara tidak akan dikompromi dan akan terus diperkukuh melalui pendekatan strategik, profesionalisme pasukan keselamatan serta pelaburan dalam teknologi dan latihan.
Untuk rekod, LIMA pertama kali dianjurkan pada tahun 1991 sebagai platform untuk mempamerkan kekuatan industri pertahanan maritim dan aeroangkasa Malaysia serta menarik pelaburan dan kerjasama strategik dari dalam dan luar negara.
Bermula sebagai pameran berskala sederhana, LIMA kini diiktiraf sebagai salah satu pameran pertahanan paling berprestij di rantau Asia Pasifik.
Penganjuran LIMA setiap dua tahun di Langkawi menjadi medan penting untuk memperlihatkan keupayaan taktikal, demonstrasi udara dan laut serta peluang kerjasama antara agensi keselamatan, pemain industri dan negara sahabat.
LIMA’25 meneruskan legasi ini dengan menampilkan pelbagai aset canggih dan inovasi ketenteraan sambil mengetengahkan komitmen Malaysia dalam memastikan kesiapsiagaan pertahanan negara kekal berada pada tahap tertinggi.








