PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia berjaya melaksanakan misi evakuasi seramai 24 individu termasuk 14 rakyat Malaysia, dari Iran susulan konflik yang semakin meruncing di negara itu.
Menurut kenyataan media Wisma Putra, kesemua individu berkenaan telah selamat melepasi sempadan Iran–Turkmenistan pada 22 Jun.
Menurutnya, mereka kemudian menaiki penerbangan Turkmenistan Airlines T5 647 ke Bangkok, Thailand sebelum meneruskan perjalanan pulang dengan pesawat Malaysia Airlines MH 781 ke tanah air.
Proses evakuasi itu dikendalikan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Tehran dan melibatkan perjalanan darat sejauh 1,120 kilometer ke pintu sempadan Iran–Turkmenistan.
Tambahnya, penerbangan dari Ashgabat, Turkmenistan ke Bangkok dan seterusnya ke Malaysia turut diselaraskan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Ashgabat dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.
“Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan Iran, kerajaan Turkmenistan dan kerajaan Thailand atas kerjasama erat yang telah diberikan.
“Sehingga membolehkan proses membawa pulang rakyat Malaysia ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
“Proses evakuasi ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia dalam menjamin keselamatan dan kebajikan warganegara, selaras dengan nilai teras Ihsan dalam kerangka Malaysia Madani,” kata kenyataan itu.
Wisma Putra turut memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Ashgabat telah membantu dalam pergerakan dan penerbangan beberapa warga Brunei untuk pulang ke negara asal mereka.
Tambah kenyataan itu, penglibatan seorang warganegara Singapura dalam operasi tersebut serta bantuan kepada warga Brunei mencerminkan keterbukaan dan solidariti serantau Malaysia dalam membantu sesama negara anggota ASEAN.