Kerajaan Martabat Syiar Islam, Buat Semula Video Promosi TMM 2026 Wajar

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Tindakan membuat semula video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 adalah wajar dan tepat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Langkah itu katanya, selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan serta mengambil kira kemajmukan masyarakat di Malaysia.

“Kita menyambut baik komitmen YB Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk membuat semula video promosi tersebut.

“Institusi masjid dan surau menjadi imej dan identiti tonggak kepada negara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, usaha untuk memperkukuh serta memartabat syiar Islam di Malaysia adalah keutamaan Kerajaan MADANI melalui agenda Membangun Malaysia MADANI dan Pelan Transformasi Al-Falah.

“Semua pihak termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa agama Islam negeri, agensi swasta dan NGO diseru untuk bersama-sama memperkukuh perpaduan demi memajukan negara,” katanya lagi.

Sebelum ini, video promosi TMM 2026 menerima kritikan termasuk daripada pemimpin pembangkang kerana didakwa cuai susulan tiada elemen masjid sedangkan terdapat paparan rumah ibadat lain seperti gereja dan kuil.

Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, video tersebut akan dibuat semula dengan lebih terperinci bagi menampilkan keunikan di setiap negeri.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat