Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Detik penuh bersejarah tercipta apabila Kerajaan Negeri Melaka berjaya memeterai sebuah lagi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memperkukuh pelaksanaan agenda pembangunan digital negeri itu selaras dengan Pelan Tindakan Melaka Pintar 2035.
Majlis pertukaran MoU berkenaan disaksikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Menurut Fahmi, kerjasama strategik tersebut merangkumi pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar, aspek keselamatan awam, pengurusan trafik serta pemerkasaan pelancongan warisan berasaskan teknologi.
“Petang tadi (Jumaat) saya menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Negeri Melaka dan MCMC, yang turut disaksikan oleh YAB Datuk Seri Utama Ab. Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka.
“Kerjasama strategik ini seiring “Pelan Tindakan Melaka Pintar 2035”, meliputi pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar, keselamatan awam, pengurusan trafik, pelancongan warisan berasaskan teknologi, serta inisiatif pengurusan banjir melalui sistem amaran awal dan sensor IoT,” katanya di Facebook pada Sabtu.
Selain itu katanya, inisiatif pengurusan banjir turut diberi penekanan melalui penggunaan sistem amaran awal dan teknologi sensor Internet Benda (IoT) bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan keselamatan rakyat.
Beliau berkata, usaha berkenaan bukan sahaja bertujuan memperkukuh prasarana digital negeri, malah menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat Melaka.
Tambahnya, kerjasama itu turut menggerakkan aspirasi Bandar Melaka sebagai sebuah “Digital Heritage City” yang berdaya huni, berdaya tahan dan berdaya saing seiring keperluan pembangunan bandar pintar masa hadapan.
Baca juga:








