Oleh: Tyah Helmi
PARLIMEN | Kerajaan kini giat menjalankan kajian awal bagi menubuhkan Tribunal Hak Asasi Manusia di Malaysia, selaras dengan komitmen terhadap reformasi institusi dan keadilan sosial.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran, Jawatankuasa Kajian Kebolehlaksanaan Tribunal Hak Asasi Manusia (JKKTHAM) telah ditubuhkan pada Jun lalu susulan mesyuarat awal yang dipengerusikan beliau pada 21 November 2024.
“JKKTHAM itu dipengerusikan oleh mantan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mah Weng Kwai dan senarai ahli-ahlinya terdiri daripada wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Majlis Peguam, ahli akademik, pengamal undang-undang, wakil agensi kerajaan berkaitan serta badan bukan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, setakat Julai 2025, JKKTHAM telah mengadakan lima mesyuarat.
Pada 9 Julai, pasukan penyelidik telah membentangkan dapatan awal kajian kepada jawatankuasa tersebut yang merangkumi kerangka teori, analisis mekanisme sedia ada, kajian perbandingan antarabangsa dan cadangan model tribunal khusus untuk Malaysia.
“Mekanisme hak asasi manusia sedia ada di Malaysia, analisis perbandingan amalan antarabangsa dan cadangan model tribunal hak asasi manusia Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung status penubuhan tribunal tersebut dalam sesi Sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Kulasegaran berkata, inisiatif itu dijangka menawarkan alternatif yang lebih mudah diakses kepada mangsa pelanggaran hak asasi untuk mendapatkan keadilan, sejajar dengan aspirasi Kerajaan Madani.
“Cadangan menubuhkan Tribunal Hak Asasi Manusia merupakan satu usaha Kerajaan Madani dalam reformasi institusi bagi mewujudkan sebuah badan yang akan memberi ruang kepada mangsa pelanggaran hak asasi manusia untuk mendapatkan keadilan melalui mekanisme alternatif yang lebih mudah diakses,” katanya.
Sebagai langkah susulan, tambahnya, satu perbincangan kumpulan fokus (Focus Group Discussion – FGD) telah diadakan pada 17 Julai 2025 di Kuala Lumpur dan akan diteruskan di peringkat zon termasuk Sabah dan Sarawak.