Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang bersetuju membiaya kos rawatan penjawat awam dan pesara perkhidmatan awam negeri di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC@IIUM), Kuantan, berkuat kuasa pada April.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia merupakan inisiatif kerajaan negeri secara berterusan dalam memastikan kebajikan penjawat awam terus dijaga.
“Pembiayaan kos rawatan ini membabitkan penanggungan 30 peratus bil rawatan perubatan dan 100 peratus bil rawatan ubat khas, ubat non-formulary (NF) dan implant.
“Dalam pada itu, pembiayaan kos rawatan bagi kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak berkuasa berkanun (PBB) yang turut membabitkan penanggungan 30 peratus bil rawatan perubatan dan penanggungan 100 peratus bil rawatan ubat khas, ubat NF dan implant adalah ditanggung agensi masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Wan Rosdy, keputusan itu secara langsung dapat mengurangkan kesesakan yang berlaku di hospital dan klinik kerajaan.
Beliau turut mengharapkan penjawat awam dan pesara perkhidmatan awam negeri dapat menggunakan perkhidmatan rawatan kesihatan di SASMEC@IIUM dengan sebaik-baiknya.
Baca juga: